Kesimpulan
Latihan industri di Supermom Shaklee telah memberikan pengalaman yang amat berharga dan menyeluruh dalam industri pemasaran produk kesihatan. Saya meneroka dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti, bermula dari menjalankan follow-up pelanggan hingga kepada design majalah buku HT3S edisi ke-9 untuk SupermomShaklee.
Seiring dengan tugas-tugas yang diberikan, saya telah memperolehi kemahiran yang signifikan dalam pengurusan waktu, komunikasi efektif, dan pemasaran langsung. Tugas mingguan yang melibatkan follow-up pelanggan membantu saya memahami pentingnya menjaga hubungan baik dengan pelanggan dan bagaimana setiap interaksi boleh membentuk persepsi mereka terhadap jenama Shaklee dalam Malaysia.
Penyertaan dalam sesi kelas dan webinar yang diadakan oleh Kak Hadha membuka peluang untuk memahami strategi pemasaran dan taktik penjualan yang berkesan. Melalui proses ini, saya dapat melihat betapa pentingnya merancang dan melaksanakan strategi pemasaran yang efektif untuk mencapai sasaran jualan yang ditetapkan.
Di samping itu, penglibatan dalam penyusunan majalah HT3S edisi terbaru memberikan peluang untuk mengembangkan kemahiran kreatif dan penyuntingan. Keprihatinan terhadap setiap rincian dalam penyusunan majalah menunjukkan kepentingan dalam menyampaikan maklumat dengan cara yang menarik dan informatif.
Saya juga memperolehi kefahaman yang mendalam tentang produk Shaklee dan cara untuk memberikan penekanan yang berbeza kepada pelanggan berdasarkan keperluan dan kepentingan mereka. Melalui proses follow-up, saya dapat memahami bagaimana memberikan nilai tambah kepada pelanggan dan mencipta pengalaman yang positif.
Secara keseluruhannya, latihan industri ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran operasi harian dalam industri pemasaran dan penjualan produk kesihatan, tetapi juga membuka mata terhadap strategi dan taktik yang diperlukan untuk mencapai kejayaan dalam bidang ini. Saya berterima kasih kepada Supermom Shaklee atas pengalaman latihan industri yang memberangsangkan ini, dan saya yakin bahawa apa yang saya perolehi akan memberikan impak positif dalam kerjaya saya pada masa akan datang.